Foto hiasan
Foto hiasan
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi jaminan bekalan disk Lesen Kenderaan Motor (LKM) mencukupi untuk menampung urus niaga pelanggan di seluruh negara.

JPJ dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya sudah mengedarkan sebanyak 1.145 juta disk LKM kepada semua cawangan JPJ, Pos Malaysia, MyEG dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dengan kerjasama pembekal pada Januari lalu.

Menurutnya, JPJ juga sudah membuat penambahan stok bekalan sebanyak 420,000 bagi mengelak daripada terputus bekalan.

"JPJ memberi jaminan disk LKM ini tidak akan putus bekalan bagi mengelak pengguna berhadapan kesulitan ketika menjalankan urus niaga LKM.

"Bagaimanapun, pelanggan dinasihatkan menjalankan urus niaga secara dalam talian dan tidak perlu terburu-buru bagi mendapatkan dokumen secara fizikal dan bersesak-sesak di semua kaunter cawangan JPJ bagi mengelak pandemik Covid-19."

"Selaras dengan pengecualian memperbaharui Lesen Memandu Kompeten(CDL) dan Lesen Kenderaan Motor Persendirian, pengguna boleh mengambil peluang pengecualian ditawarkan JPJ bermula 1 Februari sehingga 31 Mac ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 10:43 AM