Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Pemilik kenderaan yang kehilangan dokumen berkaitan kenderaan dan lesen memandu akibat banjir dikecualikan daripada bayaran untuk mendapatkan salinan baru.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, antara dokumen berkenaan adalah lesen belajar memandu (LDL), lesen memandu percubaan (PDL), lesen memandu kompeten (CDL), lesen vokasional, lesen kenderaan motor (LKM), perakuan pendaftaran kenderaan dan cukai jalan.

"Pengecualian itu diberikan bagi membantu meringankan beban mangsa banjir.

"Pemilik kenderaan perlu hadir sendiri atau membawa surat wakil kuasa bagi syarikat dengan membawa dokumen asal atau laporan polis di mana-mana cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya pada sidang media ketika majlis pelepasan misi bantuan mangsa banjir oleh anggota JPJ dan ahli Skuad Muda 1JPJ di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 6:06 PM