GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Irwan Shafrizan Ismail


KETIRISAN kutipan hasil urus niaga Lesen Kenderaan Motor (LKM) di negara ini mencecah RM50 juta bagi tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah itu berdasarkan kepada Laporan Audit Dalaman Kementerian Pengangkutan dan analisis JPJ dengan mengambil kira rekod urus niaga pembaharuan LKM yang sudah dijalankan.

Katanya, berdasarkan kepada rekod JPJ juga mendapati lebih 50 peratus urus niaga pembaharuan LKM di Sabah, Sarawak, Labuan dan Langkawi membabitkan kenderaan yang didaftarkan serta digunakan di luar kawasan wilayah itu.

“JPJ sudah menubuhkan satu Pasukan petugas khas bagi menyelesaikan isu ketirisan kutipan hasil LKM yang berleluasa di negara ini.

“Isu ketirisan ini adalah membabitkan urus niaga pembaharuan LKM Sabah, Sarawak, Labuan dan Langkawi yang dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab untuk kegunaan di kawasan Semenanjung Malaysia.

“Objektif pasukan petugas khas ini adalah bagi mewujudkan mekanisme yang berkesan dalam menangani isu ini daripada berterusan,” katanya.

Kenyataan itu menjelaskan lagi, JPJ memandang serius perkara terbabit dan berusaha untuk memantapkan integriti penyampaian perkhidmatan khususnya bagi aktiviti kutipan hasil demi kebaikan masyarakat dan negara.

Sementara itu, katanya, urus niaga pembaharuan LKM bagi semua jenis kenderaan dan kapasiti enjin adalah berjalan seperti biasa di semua pejabat JPJ dan rakan niaga yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 8:50 PM