GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


JABATAN Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) memberikan kebenaran kepada Pos Malaysia menjalankan urus niaga pembaharuan Lesen Memandu Malaysia dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan persendirian.

JPJ dalam kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini, memaklumkan langkah itu selaras dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membenarkan semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan beroperasi semula bermula semalam.

"JPJ memahami rungutan orang ramai berkenaan dengan pembukaan kaunter

urus niaga di pejabat yang hanya untuk urusan kenderaan perdagangan dan beberapa jenis urus niaga sahaja.

"Sebenarnya, pelaksanaan pembukaan urus niaga bagi kaunter JPJ adalah dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan risiko penyebaran Covid-19 yang melanda negara ini," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan pembukaan urus niaga berperingkat berkenaan adalah memfokuskan kepada kenderaan perdagangan ataupun komersial sahaja bagi menyokong kelangsungan ekonomi.

"Seterusnya, secara beransur-ansur JPJ akan membuka kaunter urus niaga bagi urusan lain termasuk berkaitan dengan kenderaan persendirian.

"Bagaimanapun, adalah diingatkan bahawa kenderaan persendirian masih tertakluk terhadap pengecualian pembaharuan LKM dan Lesen Memandu dalam tempoh PKP seperti yang diumumkan Menteri Pengangkutan pada 24 Mac 2020 lalu," katanya.

Katanya, orang awam masih dibenarkan untuk memandu kenderaan jika LKM atau lesen memandu sudah tamat tempoh dalam waktu PKP dengan syarat insurans kenderaan masih berkuat kuasa.

"JPJ sentiasa komited memberikan khidmat bakti kepada masyarakat dan sentiasa berpadu tenaga untuk memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 5:06 PM