LAPORAN portal Harian Metro.
LAPORAN portal Harian Metro.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


GOLONGAN kenamaan (VIP) dikesan hanya membayar RM1,999 untuk memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kereta Lamborghini Gallardo di Labuan berbanding harga LKM di Semenanjung, RM12,048.

Perbezaan ketara itu menyebabkan ramai pengguna kereta mewah di semenanjung kini mendaftarkan kenderaan mereka di Labuan, Sabah, Sarawak dan Langkawi.

Ia antara punca ketirisan kutipan hasil LKM sebagaimana didedahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), semalam, mengenai laporan audit yang mendapati sebanyak RM50 juta ketirisan hasil direkodkan tahun ini.

JPJ dalam kenyataannya hari ini menjelaskan, golongan VIP terbabit mengambil kesempatan mendaftarkan kenderaan mereka di Labuan, Sabah, Sarawak dan Langkawi kerana bayaran LKM jauh lebih murah berbanding di negeri lain di Semenanjung.

Mengambil contoh lain, kenyataan itu menyebut, bagi memperbaharui LKM kereta Lamborghini Murcielago, di Semenanjung bayaran dikenakan RM17,862 untuk pendaftaran persendirian dan RM53,206 pendaftaran syarikat.

“Namun, kereta mewah jenis yang sama di Labuan pula hanya perlu membayar RM2,871 bagi pendaftaran persendirian dan syarikat manakala di Sabah dan Sarawak LKM adalah berjumlah RM5,743,” katanya.

Sebagai perbandingan lagi, bayaran memperbaharui LKM kereta Rolls Royce Ghost V12 di Semenanjung adalah RM18,294 untuk pendaftaran persendirian dan RM54,502 untuk pendaftaran syarikat.

Tetapi, di Labuan pula pemilik kenderaan hanya perlu membayar RM2,936 bagi pendaftaran persendirian dan syarikat, manakala di Sabah dan Sarawak LKM adalah berjumlah RM5873.

“Bagi kereta jenis Jaguar–XJ Super V8 Auto jumlah LKM di semenanjung adalah RM11,130 untuk individu dan RM33,010 untuk syarikat,” kata kenyataan itu lagi.

Semalam, Harian Metro melaporkan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menubuhkan pasukan khas bagi menyelesaikan isu ketirisan kutipan hasil Lesen Kenderaan Motor (LKM).

JPJ dilaporkan berkata, berdasarkan laporan audit dalaman Kementerian Pengangkutan dan analisis JPJ mendapati sebanyak RM50 juta ketirisan hasil direkodkan bagi tempoh urus niaga Januari sehingga Ogos tahun ini.

“Susulan itu satu pasukan khas ditubuhkan bagi mewujudkan mekanisme yang berkesan dalam menangani isu ini daripada berterusan.

“Berdasarkan kepada rekod JPJ juga mendapati lebih 50 peratus urus niaga pembaharuan LKM yang dilakukan di Sabah, Sarawak, Labuan dan Langkawi adalah membabitkan kenderaan yang didaftarkan dan digunakan di luar kawasan wilayah berkenaan,” katanya.

Berita berkaitan

Hasil kutipan LKM tiris RM50 juta

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 6:04 PM