MANGSA cedera diserang lelaki Indonesia. FOTO ihsan polis
MANGSA cedera diserang lelaki Indonesia. FOTO ihsan polis
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Dua beranak warga Nepal dikejarkan ke hospital selepas dicederakan seorang lelaki warga Indonesia di Kampung Bagan Jermal, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa berusia 29 tahun pulang ke rumahnya selepas membeli sireh sebelum mendapati pintu pagar dalam keadaan berkunci.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd berkata, melihat situasi itu, mangsa naik berang hingga menyebabkan jirannya warga Indonesia keluar lalu berlaku pertengkaran antara mereka.

"Keadaan semakin tegang apabila suspek pergi mengambil penukul besi dan pisau lalu menyerang mangsa.

"Bapa mangsa berusia 60 tahun yang melihat kejadian itu kemudian datang meleraikan pergaduhan di antara anaknya dengan suspek namun dia juga turut diserang suspek," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, ekoran insiden itu mangsa mengalami luka di kepala dan belakang badan manakala bapanya luka di dagu.

"Dua beranak itu diselamatkan orang awam yang menyaksikan kejadian itu namun suspek serta beberapa lelaki warga Indonesia yang mana didapati turut terbabit dengan insiden berkenaan melarikan diri.

"Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil," katanya.

Noorzainy berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati terdapat dua rumah di kawasan terbabit yang kediaman suspek terletak di bahagian hadapan dan rumah mangsa pula di belakang.

"Kedua rumah terbabit dekat dan mempunyai satu pintu pagar yang sama.

"Insiden itu dipercayai berlaku apabila mangsa memarahi suspek kerana mengunci pintu pagar hingga menyukarkannya masuk ke kediamannya sebelum mereka berdua bergaduh.

"Usaha memburu suspek kini giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 4:16 PM