Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Guru mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan sengaja mencederakan dua beradik lelaki pada Mac 2019.

Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri menjatuhkan hukuman denda RM1,000 kepada Yusri Budin, 45, selepas pengakuan bersalah direkodkan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Raja Mohammad Afiq Raja Azmi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Perak dengan sengaja mendatangkan kecederaan atas bangkitan amarah terhadap Muhammad Faizal, 43, dan Muhammad Aiman Mustaffa Kamal, 30, di tepi jalan hadapan sebuah kolej, di sini, pada 8.15 malam, 28 Mac 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga satu bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Raja Mohammad Afiq memohon hukuman ringan dikenakan memandangkan anak guamnya sudah insaf.

YUSRI mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan dua beradik lelaki  di tepi jalan hadapan Kolej Lincoln. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
YUSRI mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan dua beradik lelaki di tepi jalan hadapan Kolej Lincoln. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Katanya, tertuduh perlu menanggung enam anak serta isteri selain baru mengalami kemalangan pada Disember tahun lalu dan kini masih dalam proses rawatan.

Sharifah Amirda Shasha bagaimanapun memohon hukuman setimpal supaya kejadian itu tidak berulang dan menjadi pengajaran.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan gagal bayar boleh dipenjara sehingga sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 2:53 PM