FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

AKIBAT menceroboh kawasan surau dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang penganggur didenda RM2,500 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Norazman Ruslan,30, selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan menceroboh masuk kawasan surau dia didenda RM1,500 atau penjara tiga bulan manakala denda RM1,000 atau penjara tiga bulan kerana melanggar PKP.

Tertuduh didakwa menceroboh masuk dalam kawasan Surau Ar-Rahmaniah, Jalan Batu 7 Gombak, Gombak di sini pada 3.50 petang, 27 April lalu mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku bersalah dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa sebarang alasan munasabah pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan serupa yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon hukuman setimpal kerana tertuduh ingkar PKP dengan menceroboh masuk dalam kawasan surau yang pagarnya berkunci dan berada di tepi tangga tempat solat wanita.

Peguam Ammanjet Singh yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum bagi kedua-dua pertuduhan itu kerana anak guamnya sudah insaf.

Ditanya Majistret Nik Mohd Fadli alasan dia memasuki kawasan surau tersebut, Mohd Norazman berkata dia hanya mencari tempat berteduh kerana ketika itu hujan dan sedang menunggu rakannya.

Di mahkamah sama, 11 individu termasuk tiga wanita berusia antara 47 hingga 67 tahun masing-masing didenda maksimum RM1,000 atau penjara tiga bulan selepas mereka mengaku bersalah berhimpun bagi maksud sosial dengan bermain mahjong di sebuah rumah di Selayang Utama, Gombak pada 3.15 petang, 22 April lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah memohon hukuman setimpal.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum kerana mereka sudah insaf.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 4:28 PM