Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap bapanya di Kampung Tempoyak Kadok, di sini, pada Mac lalu.

Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri menjatuhkan hukuman selepas tertuduh, Tuan Mohamad Hafiz Tuan Haris, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan.

Sebaik pengakuan bersalah dibuat, tertuduh kelihatan sebak dan mengalirkan air mata.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin dan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd Amin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan bapanya, Tuan Haris Tuan Kub, 58, untuk membunuh mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tempoyak, Kadok, di sini, pada 11 pagi 27 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Mengikut fakta kes, mangsa bergaduh dengan tertuduh yang juga anaknya di luar rumah kerana menasihati tertuduh supaya tidak berkawan dengan orang tidak berfaedah selain kerap meminta wang RM100 sehari dengan pengadu.

Tertuduh mengamuk dan memecahkan barangan di dalam rumah serta mengugut pengadu dengan menyatakan akan membunuh bapanya.

TUAN Mohamad Hafiz dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap bapanya. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
TUAN Mohamad Hafiz dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap bapanya. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Bapa tertuduh yang takut dengan ugutan itu kemudiannya tampil membuat laporan polis.

Terdahulu, Sharifah Amirda Shasha memohon hukuman setimpal dikenakan supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat, manakala Ariyani memohon hukuman minimum dikenakan kerana tertuduh sudah insaf.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 1:46 PM