PENGANGGUR, Nik Muhammad Hafilzul Adzhar Abdul Razak dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan mengaku dirinya sebagai Tengku Mahkota Kelantan dalam laman sosial pada 4 April lalu. Foto NSTP/ZAMAN HURI ISA
PENGANGGUR, Nik Muhammad Hafilzul Adzhar Abdul Razak dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan mengaku dirinya sebagai Tengku Mahkota Kelantan dalam laman sosial pada 4 April lalu. Foto NSTP/ZAMAN HURI ISA
Mohd Zulkifli Zainuddin


PENGANGGUR dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan mengaku sebagai Tengku Mahkota Kelantan di media sosial.

Tertuduh, Nik Muhammad Hafilzul Adzhar Abdul Razak, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memuat naik status dan komen jelik di akaun Instagram miliknya dengan niat menyakiti hati dan menganiaya serta mengganggu institusi Kesultanan Kelantan pada jam 9.30 malam, 4 April lalu.

Tertuduh dikatakan memuat naik status dengan membahasakan dirinya ‘Beta’ dan komen mengaku sebagai Tengku Mahkota Kelantan dan anak angkat kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta yang sama iaitu denda RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan selepas sabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin mencadangkan jaminan RM10,000, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 4:34 PM