GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang menyediakan peruntukkan tambahan RM8 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM11 juta bagi memenuhi keperluan harian mangsa banjir terutama yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata peruntukan tambahan RM8 juta itu diluluskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, kelmarin.

Katanya, peruntukkan tambahan itu disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk kebajikan mangsa banjir terus terpelihara.

"Sehingga kini, JKM sendiri membelanjakan kira-kira RM3.4 juta yang sebahagian besarnya atau kira-kira RM2.9 juta digunakan untuk pembelian barangan keperluan harian mangsa banjir di PPS.

"Selain itu, sejumlah RM434,000 ialah bagi perbelanjaan untuk keperluan harian mangsa banjir di kawasan terputus hubungan (KTH), Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) (RM19,748) dan Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) (RM16,900).

"Peruntukan keseluruhan RM11 juta bagi tahun 2021 ini ialah yang kedua tertinggi sejak bencana banjir besar tahun 2014/2015 membabitkan 100,000 mangsa dengan peruntukkan RM57 juta.

"Peruntukan yang pada 2016 pula RM16,493; 2017 (RM1.9 juta) dan 2019 (RM46,200).

"Nilai peruntukan yang berbeza ini adalah berdasarkan keperluan dan tahap seriusnya bencana banjir yang dialami pada tahun berkenaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengenai pembukaan PPS, beliau berkata, JKM Negeri turut memaklumkan bahawa setakat semalam, sebanyak 145 daripada 425 PPS ditutup.

Katanya, sebanyak 280 PPS masih dibuka yang menempatkan 26,091 mangsa daripada 7,256 keluarga.

"Sehubungan itu, saya mengingatkan mangsa banjir, petugas dan sukarelawan sama ada di PPS atau di lapangan supaya sentiasa mementingkan keselamatan dan kesihatan diri.

"Terutama dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

"Sama-samalah kita menghadapi dugaan yang mencabar ini dan bersama-samalah kita jaga kita. Dengan keredaan Allah, kita akan berjaya, insya-Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 11:04 AM