Saipolyazan M Yusop
Saipolyazan M Yusop
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menyalurkan sumbangan RM600 kepada ketua keluarga fakir dan miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas akibat bencana banjir di negeri ini membabitkan peruntukan zakat berjumlah RM1 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop berkata, ketika ini LZS sedang mengumpul maklumat ketua keluarga dengan kerjasama Jawatankuasa Bencana Daerah bagi menyelaraskan penyaluran bantuan seterusnya meringankan beban mangsa terbabit.

"Bagi asnaf LZS sedia ada, esok kita akan menghantar mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mereka untuk bertanya adakah mereka terbabit dengan banjir dan kita akan meminta sedikit bukti seperti laporan polis serta gambar sebelum sumbangan disalurkan ke akaun bank mereka.

"Untuk keluarga yang bukan asnaf, kita akan menunggu maklumat daripada Jawatankuasa Bencana Daerah sebelum bantuan disalurkan kepada mereka yang terjejas," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, LZS juga memberikan RM10,000 kepada setiap Ketua Operasi Agihan Daerah untuk digunakan sebagai bantuan kecemasan bagi mangsa banjir menerusi Tabung Kecemasan Banjir LZS membabitkan peruntukan sebanyak RM90,000 dan ia akan ditambah sekiranya ada keperluan.

Katanya, sejumlah RM250,000 pula diperuntukkan bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah yang menempatkan mangsa banjir.

Jelasnya, sumbangan berkenaan menggunakan dana pengurusan operasi amil sebagai tanda keprihatinan amil zakat terhadap mangsa banjir.

"LZS menyediakan 5,000 pek makanan bermasak setiap hari bermula semalam yang akan diagihkan kepada semua PPS di bawah koordinasi pejabat daerah dan bantuan tersebut akan diteruskan untuk tempoh lima hari," katanya.

Mengulas lanjut, Saipolyazan berkata, LZS akan menyalurkan beberapa bentuk bantuan pasca banjir bagi membantu mangsa yang terbabit dengan banjir terutama dalam kalangan asnaf fakir dan miskin serta institusi.

"Bagi asnaf fakir dan miskin yang mengalami kerosakan rumah boleh menyalurkan maklumat kepada penolong amil kariah agar bantuan baik pulih dapat disalurkan mengikut keperluan bergantung kepada syarat dan kelayakan.

"Peruntukan maksimum bagi setiap rumah adalah RM31,500 dan akan diberikan mengikut keperluan serta tahap kerosakan yang terjadi.

"Dalam pada itu, LZS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan turut menyalurkan bantuan baik pulih seperti permaidani, peralatan sistem audio dan sebagainya kepada masjid dan surau yang mengalami kerosakan sewaktu banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 3:29 PM