TINJAUAN mendapati banyak barangan kelengkapan rumah telah musnah akibat ditenggelami air sehingga paras dada. FOTO Bernama
TINJAUAN mendapati banyak barangan kelengkapan rumah telah musnah akibat ditenggelami air sehingga paras dada. FOTO Bernama
BERNAMA

Tanjung Malim: Bukan sahaja semua kelengkapan rumah musnah, malah lebih 40 ekor ayam kampung diternak seorang warga emas bagi menyara dirinya bersama suami, lemas dalam kejadian banjir melanda Kampung Balun, Slim River, Ahad lalu.

Ramlah Safari, 70, yang ditemui Bernama ketika sedang melakukan kerja pembersihan rumah rosak teruk akibat dinaiki air setinggi 1.2 meter berkata, dia terlalu sedih selepas melihat ayam ternakan tidak bernyawa ketika pulang daripada berlindung di rumah adiknya yang terletak berhampiran pada Selasa lalu.

"Pada malam kejadian, saya hanya sempat menyelamatkan nyawa sendiri dan suami, Hanafi Buyong, 68, yang menghidap strok dengan bantuan keluarga kerana bimbang air banjir yang deras," kata ibu kepada enam anak dan 15 cucu itu.

Beliau berkata, reban ternakan di belakang rumahnya diusahakan sendiri sejak usia mudanya iaitu kira-kira 50 tahun lalu dan ini kali pertama mengalami kerugian sedemikian.

Katanya, lebih menyedihkan, semua persiapan majlis perkahwinan anak lelaki bongsunya yang berusia 26 tahun turut musnah dalam kejadian itu.

"Sepatutnya kenduri kahwin diadakan pada hujung minggu ini, tetapi semua barangan termasuk pakaian pengantin, barangan hantaran dan barang dapur untuk masak juadah pada majlis itu tidak sempat diselamatkan.

"Bagaimanapun, anak dan pasangannya reda akan musibah melanda serta terpaksa membatalkan kenduri kahwin mereka di rumah ini," katanya.

Ramlah berkata, beliau bersyukur kerana semua anak dan cucu pulang ke rumahnya hari ini untuk membantu melakukan kerja pembersihan rumah selepas banjir surut pada Selasa lalu.

Menurutnya, mereka kini tinggal sehelai sepinggang selepas semua perabot rosak dan pakaian kotor selepas berendam lumpur akibat banjir dan berharap kerja pembaikan ban pecah di Sungai Slim segera disiapkan supaya musibah itu tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 7:40 PM