Zaara Talita


Kuala Lumpur: Ramlah Ram berpendapat insiden persembahan nyanyian Ning Baizura yang tular sehingga mendapat kritikan netizen bukan disengajakan oleh penyanyi itu.

Ramlah berkata, adalah tidak adil bagi melihat persembahan seseorang artis itu serta membuat kesimpulan dengan mudah tanpa usul periksa.

"Kita tidak boleh dan tidak adil untuk tengok satu persembahan dan nilai sedangkan sebelum ini persembahan penyanyi itu baik. Takkan kerana satu insiden kita lupakan persembahan yang lain. Jadi, jangan menghakimi berdasarkan satu insiden saja. Saya percaya pasti ada sebab yang munasabah. Jangan cepat menghukum," katanya.

Ramlah berkata, seseorang penyanyi perlu tahu mengenai keperluan mengawal emosi dan perasaan sebak ketika menyanyi dan katanya, situasi itu memang biasa berlaku.

Katanya, dia juga pernah beberapa kali berdepan dengan situasi sedemikian sehingga mengganggu nyanyiannya.

Ramlah yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu, dia sangat bersyukur dengan anugerah yang diberikan Allah dan menjadi tanggungjawabnya supaya sentiasa menjaga suara kerana menjadi punca rezekinya.

"Saya bersyukur kerana masih diberikan kesihatan dan masih boleh menyanyi. Sebagai penyanyi kena selalu jaga suara kerana itu adalah sumber rezeki kita. Jadi, kena buat apa saja yang sebaik mungkin untuk memastikan suara berada dalam keadaan baik. Saya tidak minum ais dan bila hampir dengan hari persembahan saya tidak mengambil makanan yang berminyak," katanya.

Ramlah Ram.
Ramlah Ram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 2:54 PM