RAMLAH melihat bumbung bilik air rumahnya yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Taman Mawar, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman.
RAMLAH melihat bumbung bilik air rumahnya yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Taman Mawar, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman.
Hamzah Osman


“DENTUMAN di bahagian bumbung bilik tidur cukup kuat dan bila dongak, nampak langit terpelahang (terbuka luas) kerana sebahagian atap sudah tiada,” kata warga emas, Ramlah Putih, 79, mangsa ribut di Taman Mawar, Langkawi, hari ini.

Kejadian 1.30 tengah hari itu menyebabkan hasrat Ramlah memasak kari ayam untuk makan tengah hari bersama tiga anaknya terbantut.

“Nak masak macam mana kerana atap bertaburan jatuh atas lantai dan terkejut melihat bumbung bilik tidur dan air terpelahang selepas dipukul puting beliung.

“Mak Cik menetap di sini sudah lama dan ini kejadian pertama di rumah ini walaupun beberapa penduduk pernah mengalami bencana sama sebelum ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ramlah antara empat pemilik rumah di taman perumahan berusia 37 tahun itu yang bumbung rumah mereka rosak akibat diterbangkan ribut.

Sementara itu, Pegawai Bencana Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearal berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada 2.43 petang.

“Sejurus itu, seorang pegawai bersama empat anggota serta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi untuk memberi bantuan awal kepada penduduk.

“Apabila tiba, kami dapati ada rumah penduduk rosak dibadai ribut berskala kecil menyebabkan bumbung tercabut dan pecah,” katanya ketika dihubungi.

Azamshah berkata, pihaknya menamatkan operasi sejam kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 7:43 PM