SEBAHAGIAN daripada pelancong yang terkandas di Taman Negara, Kuala Tahan sejak Jumaat lalu. FOTO Ihsan Sabri Abdullah.
SEBAHAGIAN daripada pelancong yang terkandas di Taman Negara, Kuala Tahan sejak Jumaat lalu. FOTO Ihsan Sabri Abdullah.
Roselan Ab Malek


Jerantut: Seramai 96 pelancong yang mengunjungi Taman Negara, Kuala Tahan sejak Jumaat lalu terkandas di pusat pelancongan itu berikutan dua laluan keluar masuk utama dinaiki air.

Jalan Padang Piol - Sungai Retang dekat Paya Garuk dinaiki air sedalam tiga meter di sepanjang 80 meter laluan itu dan 50 meter laluan ke selekoh Sawmill Jerantut Feri ditenggelami air satu meter.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abdul Rahman berkata, semua pelancong itu menginap di Mutiara Taman Negara Resort membabitkan 41 orang, Xcape resort (16), Liana Hostel (17) dan selebihnya di Danz Eco, Delimah Guest House dan Abot Guest House.

Selain itu, katanya, terdapat tujuh pekerja kontrak membaiki titian kanopi yang terkandas dan tinggal di Zamri Guest House.

Menurutnya, pelancong berkenaan memilih untuk kekal di rumah penginapan dan resort sementara menunggu banjir surut dan tidak mahu menanggung risiko meredah banjir.

"Semua pengusaha penginapan sudah diminta menyediakan senarai lengkap nama pelancong serta maklumat peribadi bagi memudahkan berhubung jika banjir bertambah buruk," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Pelanggan Mutiara Taman Negara Resort, Sabri Abdullah berkata, kebanyakan pelancong di situ datang dari Kuala Lumpur yang maklum mengenai risiko banjir ketika musim ini tetapi tidak menjangkakan situasi buruk.

"Ketika mereka tiba pada Jumaat, cuaca panas dan hanya hujan lebat pada Sabtu yang membawa kepada banjir besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 12:44 PM