SEBAHAGIAN 102 pelancong asing dan tempatan yang terkandas di Taman Negara berjaya dikeluarkan Bomba dan Penyelamat . Mereka bermalam di Asrama Sekolah Menengah Jubli Perak Sutan Haji Ahmad Shah (JPSHSH) Kuala Tahan sebelum dibawa ke Jerantut. FOTO Nazirul Roselan
SEBAHAGIAN 102 pelancong asing dan tempatan yang terkandas di Taman Negara berjaya dikeluarkan Bomba dan Penyelamat . Mereka bermalam di Asrama Sekolah Menengah Jubli Perak Sutan Haji Ahmad Shah (JPSHSH) Kuala Tahan sebelum dibawa ke Jerantut. FOTO Nazirul Roselan

Jerantut: Seorang daripada 102 pelancong yang terperangkap di Taman Negara, memuji tindakan pantas pihak berkuasa mengatur operasi menyelamat mereka yang terperangkap di Taman Negara sejak semalam.

Warga Perancis yang hanya mahu dikenali sebagai Serge, 41, berkata mereka yang terperangkap di Mutiara Taman Negara Resort juga sentiasa diberitahu perkembangan terkini tentang operasi menyelamat berkenaan.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana sentiasa menjaga kebajikan kami baik dari segi makanan dan ubat-ubatan,” katanya.

Serge berkata demikian ketika ditemui ketika operasi memindahkan pelancong terkandas itu daripada resort berkenaan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah (SMKJPSHAH) Kuala Tahan.

Dia yang bekerja di Kuala Lumpur berkunjung ke Taman Negara bersama isteri Mathilde, 37, dan dua anaknya, Alexander, 7, dan anak perempuannya Lise, 3.

Walaupun mengetahui Malaysia kini musim tengkujuh, dia tidak menyangka keadaan akan menjadi seburuk itu.

Serge berkata, dia dan keluarga juga tidak risau apabila dimaklumkan operasi membawa keluar mereka ke Jerantut terpaksa ditangguh sehari berikutan cuaca kurang elok kerana berada di tempat selamat.

Sementara itu, pelancong wanita warga Perancis yang enggan dikenali berusia 28 tahun, berkata dia tidak bimbang terperangkap di resort berkenaan kerana layanan baik diberikan oleh pengurusan resort.

“Saya tidak serik untuk datang lagi,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 11:05 PM