ANGGOTA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut memantau keselamatan pelancong yang berada di Taman Negara berikutan air Sungai Tembeling melebihi paras bahaya. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut memantau keselamatan pelancong yang berada di Taman Negara berikutan air Sungai Tembeling melebihi paras bahaya. FOTO ihsan Bomba
Amir Hamzah Nordin


Jerantut: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang sentiasa memantau keadaan pelancong yang mengambil keputusan untuk terus menginap di beberapa resort di Kuala Tahan berhampiran Taman Negara ketika banjir.

Ketua Zon 2 JBPM, Penguasa Kanan Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, pihaknya sebelum ini sudah memberi nasihat dan peringatan kepada pemilik resort supaya membawa keluar pelancong yang menginap di premis mereka sebelum banjir berlaku.

Bagaimanapun ada segelintir pelancong membuat keputusan untuk terus tinggal di Taman Negara dan pihaknya melakukan pemantauan secara berkala selain memberi nasihat dan tindakan yang perlu mereka ambil sekiranya keadaan menjadi lebih buruk.

"Jika mereka mahu keluar dari kawasan berkenaan, mereka boleh menghubungi kita atau pihak berkuasa memandangkan jalan yang menghubungkan bandar Jerantut dengan Kuala Tahan ditutup akibat ditenggelami air.

"Rata-rata pelancong yang mahu terus tinggal di Taman Negara memberi alasan mahu menikmati keindahan alam semulajadi dan kita menasihatkan mereka untuk mengehadkan aktiviti mereka ketika musim hujan ini," katanya ketika dihubungi, di sini.

Sementara itu, pihak pengurusan Mutiara Resort Kuala Tahan sudah memindahkan 59 pelancong yang menginap di resort mereka memandangkan air Sungai Tembeling mula meningkat.

Pegawai komunikasinya Sabri abdullah berkata, 43 pelancong dibawa keluar menggunakan bas yang disewa khas ke bandar Jerantut.

"Manakala 16 orang lagi memandu kenderaan sewa masing-masing.

"Operasi bermula secara berperingkat mulai 3 petang hingga 7 malam tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 10:42 PM