Oleh Rosli Ilham


Dungun: Pasukan bomba mengerahkan 11 anggota dengan empat buah bot dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut untuk menyelamatkan 102 pelancong asing dan tempatan yang terperangkap di sebuah pusat pelancongan di Kuala Tahan, Pahang.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, selepas menerima panggilan 11 pagi tadi dan kini berusaha mengeluarkan mangsa yang terkandas.

"Mangsa yang terdiri daripada pelancong tempatan dan asing yang bercuti di Mutiara Taman Negara Kuala Tahan, terkandas selepas paras air Sungai Tembeling naik mendadak menyebabkan resort berkenaan dinaiki air melebihi satu meter.

"Kami akan memaklumkan perkembangan lanjut sebaik mendapat laporan daripada pegawai bertugas di lokasi terbabit," katanya selepas melawat empat anggota bomba dari balai Bomba Bandar Al Muktaffi Billah AMBS yang terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan membantu mangsa banjir di Hospital Dungun, pagi tadi.

Seramai 82 pelancong asing dari Perancis, Jerman, Sweden, Australia, Emiriah Arab Bersatu, Kanada, Romania, Belgium, Norway dan Republik Czech serta 20 pelancong tempatan terkandas dalam musibah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 1:17 PM