ABD Aziz bersama isterinya dan dua orang anaknya ketika ditemui di PPS SMK Sri Sembrong di Kluang. FOTO ADNAN IBRAHIM
ABD Aziz bersama isterinya dan dua orang anaknya ketika ditemui di PPS SMK Sri Sembrong di Kluang. FOTO ADNAN IBRAHIM
Adnan Ibrahim


Kluang: "Mujur ada bawa bekalan mi siput dari kampung, jika tidak mungkin kami kelaparan," kata Abd Aziz Jemain, 30, ketka menceritakan pengalaman dia sekeluarga terperangkap akibat laluan di Jalan Kluang-Mersing dinaiki air, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian jam 3 petang, dia dan isteri, Khairiyatul Asma Kamat, 30, serta dua anak yang berusia lapan bulan dan dua tahun dalam perjalanan dari rumah ibunya di Kampung Bahagia, Mersing untuk pulang ke kediaman mereka di Muar.

Katanya, pada mulanya mereka boleh melepasi lintasan air di Batu 18, Jalan Kluang-Kahang sebelum meneruskan perjalanan namun sebaik tiba di Batu 17, mereka melihat sebanyak 15 kereta sudah terkandas.

"Ketika itu masa sudah menunjukkan jam 3 petang dan kami berhasrat menunggu seketika kerana mengharapkan air akan kembali surut untuk meneruskan perjalanan.

"Namun selepas menunggu hampir sejam, kami dapati air semakin tinggi dan bercadang untuk berpatah balik ke Mersing tanpa menduga air di Batu 18 juga sudah mencapai kedalaman 0.91 meter," katanya ketika ditemui di pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sembrong, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan mereka sekeluarga serta 45 orang lagi hanya mampu menunggu sekiranya ada bantuan yang datang memberikan bantuan kerana di kawasan itu liputan talian telefon kurang memuaskan.

"Apabila rasa terlalu lapar kerana sudah berada di situ hampir tiga jam, saya teringat ada membawa 30 balang mi siput yang pada asalnya untuk dijual kepada rakan-rakan di Muar.

"Melihat orang lain tiada makanan untuk dijamah, saya mengambil inisiatif menyedekahkan mi siput berkenaan kepada mereka untuk sama-sama mengalas perut," katanya.

Abd Aziz berkata, selepas hampir 11 jam menunggu, akhirnya satu pasukan bantuan datang untuk membawa mereka ke PPS manakala kereta yang dinaiki terpaksa ditinggalkan di tempat mereka terkandas.

"Namun yang paling mencabar adalah kami terpaksa naik bot sebelum berjalan sejauh kira-kira 500 meter dan menaiki bot semula untuk sampai ke kenderaan yang membawa kami ke PPS," katanya.

Seramai 71 mangsa daripada 25 keluarga yang terkandas perjalanan dari Mersing ke Kluang ditempatkan di PPS SMK Seri Sembrong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 7:19 PM