MANGSA banjir, Awang Mad Yahya Noh melihat pukat yang dipasang di hadapan rumahnya di Kampung Perpat, Sedili,  Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
MANGSA banjir, Awang Mad Yahya Noh melihat pukat yang dipasang di hadapan rumahnya di Kampung Perpat, Sedili, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Johor merekodkan penurunan manakala Pahang kekal dengan 314 mangsa malam ini.

Di SABAH, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir direkodkan seramai 1,723 mangsa daripada 673 keluarga dan ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini, berbanding 2,639 mangsa daripada 927 keluarga di 19 PPS petang tadi.

Menurut kenyataan itu jumlah mangsa di Pitas merekodkan seramai 1,348 daripada 565 keluarga yang ditempatkan di empat PPS, diikuti Paitan 333 mangsa daripada 97 keluarga dan Lahad Datu kekal 42 mangsa daripada 10 keluarga.

"Dua PPS masing-masing satu di Pitas iaitu Sekolah Kebangsaan Bangkau-Bangkau dan Dewan Pusat Latihan Vokasional Lahad Datu menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa," menurut kenyataan itu.

Selain itu, 10 lagi PPS di Pitas ditutup pada 2.50 petang tadi, manakala empat PPS di Paitan ditutup pada 3 petang.

Di JOHOR, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS menurun sedikit kepada 2,216 orang setakat 8 malam, berbanding 2,464 orang pada 2 petang tadi.

Terdapat pertambahan satu PPS di Batu Pahat menjadikan 30 PPS yang aktif setakat ini dengan tujuh daerah masih terjejas iaitu Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat, Segamat, Tangkak dan Muar.

Mersing masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 802 mangsa, diikuti Batu Pahat (431), Kluang (424), Kota Tinggi (416), Segamat (123) dan Tangkak (15).

Di PAHANG, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di Rompin malam ini kekal 314 orang daripada 96 keluarga, yang kini ditempatkan di tiga PPS iaitu PPS Kampung Setajam seramai 165 mangsa, PPS Kampung Rekoh (122) dan PPS Kampung Denai (27).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 10:59 PM