MENTERI Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Sarawak, Datuk Julaihi Narawi (kanan) mengiringi James Jemut (kiri) melawat lokasi kenderaan terjunam ke dalam sungai di pangkalan feri Triso. FOTO Norsyazwani Nasri
MENTERI Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Sarawak, Datuk Julaihi Narawi (kanan) mengiringi James Jemut (kiri) melawat lokasi kenderaan terjunam ke dalam sungai di pangkalan feri Triso. FOTO Norsyazwani Nasri
BERNAMA

Kuching: Berkuat kuasa serta merta, semua laluan khas yang disediakan di jeti bagi kenderaan menaiki atau turun dari feri, akan dilengkapi dengan palang penghadang yang kukuh pada bahagian tepinya, bagi mengelak kejadian kenderaan terjatuh ke dalam sungai seperti yang berlaku semalam, berulang.

Dalam kejadian semalam, sembilan maut selepas kenderaan pacuan empat roda terjatuh ke dalam sungai Batang Lupar, di jeti feri Triso, kira-kira 120 km dari sini, ketika berada di jeti berkenaan untuk menaiki feri.

Timbalan Ketua Menteri II Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak berkata, Jabatan Kerja Raya Negeri diarahkan untuk mula membina penghadang itu dengan segera.

"Dengan palang penghadang yang kukuh, tiada kenderaan yang boleh jatuh (ketika menaiki atau turun dari feri). Ini akan dilaksanakan dengan segera. Perlu faham, bahawa dalam kejadian semalam kenderaan itu jatuh dari kawasan tempat feri berlabuh, bukannya jatuh dari feri (sebagaimana yang disangka ramai)," katanya ketika melawat tempat insiden berkenaan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.00 petang semalam, sembilan orang termasuk bayi berusia empat bulan maut apabila kenderaan yang dinaiki hilang kawalan dan jatuh ke dalam sungai di sekitar kawasan jeti berkenaan.

Mereka terdiri daripada pemandu, Ronany Ting, 33; penumpang Siti Aisha Abdullah, 36; Nor Shuhada Mohamad, 16; Khairunnisa Muhamad, 14; dan Alvin Phang, 12; Wallace Phang, 7; Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7; Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5; dan Mohd Ahmad Mohd Hamdan yang berusia empat bulan.

Masing berkata, tragedi itu mengingatkan semua pengguna feri betapa pentingnya untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan rapi apabila menggunakan kemudahan disediakan, yang telah ditetapkan sejak perkhidmatan itu mulai beroperasi lagi.

Beliau berkata, antara SOP ialah semua penumpang dikehendaki turun daripada kenderaan, sebelum kenderaan dipandu melalui laluan disediakan untuk masuk ke dalam feri, dan hanya masuk kembali masuk ke dalam kenderaan itu apabila kenderaan telah dipandu keluar dari feri berkenaan.

"Kita perlu kuat kuasa semua SOP yang diperkenalkan sejak sekian lama ini," katanya sambil menggesa supaya semua pengguna sentiasa mematuhi arahan para pengawal feri sepanjang masa, semasa hendak menggunakan perkhidmatan feri.

Menurutnya kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM3 bilion untuk membina jambatan melintasi sungai-sungai yang terdapat di Laluan Utama Kedua (second trunk road) yang menghubungkan semua kawasan pesisir pantai di Sarawak.

"Kerajaan negeri terpaksa menyediakan dana (bagi membina jambatan) apabila kerajaan Pakatan Harapan (persekutuan) sebelum ini membatalkan semua projek pembinaan jambatan itu. Projek jambatan Batang Lupar melibatkan kos RM848 juta (bagi menggantikan perkhidmatan feri Triso) dan kita sedang membinanya sekarang," katanya.

Masing berkata, kerajaan negeri sedia melaksanakan projek pembinaan jambatan kerana ia sedar betapa pentingnya infrastruktur itu kepada rakyat Sarawak, walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah membatalkan peruntukan pembinaannya.

"Jambatan ini amat penting kepada kira (rakyat Sarawak) dan kita telah memutuskan untuk menggunakan dana negeri bagi memastikan jambatan-jambatan ini siap menjelang tahun 2025, atau 2026," katanya.

Siasatan setakat ini mendedahkan bahawa kejadian berkenaan adalah kemalangan kendiri, dan menurutnya kerajaan bersedih dengan tragedi itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Katanya beliau turut menghargai keprihatinan yang ditunjukkan oleh orang ramai di kawasan kejadian, sehingga ada yang sanggup terjun ke dalam sungai itu dalam usaha menyelamatkan mangsa, tanpa menunggu ketibaan anggota penyelamat.

"Ini menunjukkan bahawa di Sarawak, kira ambil berat antara satu sama lain, mereka cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan (mangsa). Kepada mereka, saya ucapkan terima kasih, kita amat menghargai usaha mereka untuk membantu," katanya.

Berita berkaitan:

  • Jangan sebar gambar, video mangsa lemas di media sosial
  • Kenderaan hilang kawalan sebelum jatuh ke sungai
  • Kerajaan Sarawak akan siasat punca kejadian
  • Terkorban ketika nak hantar ahli keluarga ke tahfiz
  • Seorang lagi meninggal dunia [METROTV]
  • 8 sekeluarga lemas, kenderaan jatuh sungai [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 1:08 PM