TIGA mangsa terakhir yang terkorban selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terjunam ke Sungai Batang Lupar disemadikan. FOTO Bernama
TIGA mangsa terakhir yang terkorban selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terjunam ke Sungai Batang Lupar disemadikan. FOTO Bernama
BERNAMA

Sibu: Ahli keluarga dan saudara-mara memberikan penghormatan terakhir kepada tiga mangsa tragedi Pangkalan Feri Triso di Rumah Mayat Sibu, Jalan Bukit Lima, hari ini.

Seorang demi seorang mengucapkan selamat tinggal kepada mendiang Lorna Ting, 33, dan dua anaknya Alvin Phang, 12, dan Wallace Phang, 7, yang terkorban selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) dinaiki mereka bersama enam lagi ahli keluarga terjunam ke Sungai Batang Lupar pada Jumaat.

Suasana di rumah mayat itu suram dengan cuaca hujan dan rakaman bacaan doa persemadian dimainkan.

Suami Ting, Phang Wei Beng, 56, dilihat diberi taklimat berhubung upacara pengebumian oleh wakil daripada Persatuan Chiang Chuan Sibu manakala ibu mentuanya Munah Agon, 58, yang kehilangan dua anak perempuan dan tujuh cucu, sesekali mengesat air mata.

Selain Ting dan dua anaknya, turut terkorban ialah Siti Aishah Abdullah, 36, dan lima anaknya iaitu Mohd Aiman Mohd Hamzah, 7, Muhd Mustaqim, 5, Khairunnisa, 14, Nor Shuhada, 16, dan Mohd Ahmad yang baru berusia empat bulan.

Siti Aishah dikebumikan bersama-sama anaknya dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu di Sri Aman Sabtu lalu.

Pada 7.40 pagi, keranda tiga mangsa itu ditutup dan dimasukkan ke dalam dua kenderaan mayat menuju ke Nirvana Memorial Park di Jalan Sibu-Bintulu sejauh 31 km.

Di taman peringatan itu, upacara persemadian ringkas diadakan sebelum pembakaran mayat dilakukan selama kira-kira sejam dan abu mayat kemudian disemadikan di taman peringatan itu.

Keluarga mangsa semalam kekurangan lebih RM20,000 untuk menanggung kos pembakaran mayat yang berjumlah lebih RM60,000.

Abang Lorna, Ting Hing Ping kemudian memohon sumbangan daripada orang awam yang membolehkan upacara itu dilakukan hari ini.

Berita berkaitan:

  • Keluarga mangsa tragedi jeti feri Triso rayu bantuan
  • Juragan trauma kenang tragedi
  • 'Saya hilang dua anak, tujuh cucu serentak'
  • Jangan sebar gambar, video mangsa lemas di media sosial
  • Kenderaan hilang kawalan sebelum jatuh ke sungai
  • Kerajaan Sarawak akan siasat punca kejadian
  • Terkorban ketika nak hantar ahli keluarga ke tahfiz
  • Seorang lagi meninggal dunia [METROTV]
  • 8 sekeluarga lemas, kenderaan jatuh sungai [METROTV]

  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 1:43 PM