FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Asrol Awang


Kuantan: Jumlah mangsa banjir semakin berkurangan di daerah ini apabila merekodkan 23 orang daripada enam keluarga setakat 4 petang ini.

Berbanding 8 pagi tadi, seramai 35 mangsa banjir daripada lapan keluarga berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular, di sini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang memaklumkan 12 orang daripada dua keluarga sudah pulang pada 12 tengah hari.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Pekan dan Rompin sehingga esok, manakala hujan berterusan (waspada) pula dijangka berlaku di Kuantan sehingga esok.

Menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula, tiga sungai di Pahang merekodkan bacaan melepasi paras amaran, setakat 3.45 petang ini.

Ia membabitkan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran; Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan dan Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin.

Dua belas sungai lain pula merekodkan bacaan melepasi paras waspada iaitu Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan; Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis; Sungai Tembeling di Kampung Merting dan Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut.

Selain itu, Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh dan Sungai Pahang di Waterfront, Bera.

Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang; Sungai Pahang di Kampung Chenor dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran.

Di Kuantan pula, Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Sungai Kuantan di Pasir Kemudi dan Sungai Belat di Seri Damai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 5:55 PM