Bot Penggalang 45 APMM digerakkan membantu operasi SAR dua mangsa lemas di Pantai Kelulut dan Jambu Bongkok. FOTO Ihsan APMM
Bot Penggalang 45 APMM digerakkan membantu operasi SAR dua mangsa lemas di Pantai Kelulut dan Jambu Bongkok. FOTO Ihsan APMM
Zaid Salim


Marang: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan sebuah aset bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa lemas dalam dua kejadian berbeza di perairan pantai Marang, di sini, semalam.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, sebaik menerima laporan daripada Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat (MRSC), pihaknya segera menggerakkan bot Penggalang 45 ke lokasi kejadian jam 6.50 petang, semalam

"Operasi SAR dilakukan di dua lokasi berkenaan iaitu di Pantai Kelulut Dan Jambu Bongkok secara serentak.

"Pencarian merangkumi radius lima batu nautika daripada lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi SAR turut membabitkan polis, Jabatan Bomba Dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Namun, operasi sukar kerana keadaan cuaca dan laut bergelora dengan ketinggian ombak mencecah 3.5 meter serta angin kencang yang diramalkan berlaku sehingga esok menyukarkan pasukan penyelamat melakukan operasi.

Menurutnya, sehingga kini, pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk bagi mengesan kedua-dua mangsa.

"Kita menasihatkan orang ramai khususnya pelancong yang datang ke negeri ini tidak melakukan aktiviti pantai bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

Dalam dua kejadian berasingan semalam, Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, dari Kampung Tok Bat, Kuala Berang dikhuatiri lemas selepas dibawa dihanyut ombak ketika Mandi bersama enam rakan di Pantai Jambu Bongkok, jam 6.30 petang.

Di Pantai Kelulut, mangsa yang juga bakal pengantin, Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur dilaporkan lemas ketika mandi di pantai bersama adik perempuannya, Siti Nur Atiqah di Pantai Kelulut, jam 6.40 petang.

Berita berkaitan

Bakal pengantin lelaki dijadual bernikah hari ini dikhuatiri lemas

'Cepatlah kita mandi laut, nanti aku mati kempunan...'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 10:07 AM