Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan negeri menawarkan baucar pelancongan bernilai RM200 kepada 3,000 petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan kepada golongan itu.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemberian baucar itu sebahagian daripada intipati Pakej Pemulihan Ekonomi Selangor yang diumumkan pada Julai lalu.

"Kita memberikan baucar berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas secara berterusan lebih tujuh bulan lalu (apabila negara mula berdepan pandemik Covid-19).

"Bagi memilih penerima yang layak, kita akan menghubungi pihak berkaitan seperti polis, tentera serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan senarai individu yang layak.

"Penerima boleh menebus baucar berkenaan menerusi dua platform iaitu Lazada dan e-Dompet Touch 'n go", katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Kempen Promosi Pelancongan 'Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu' di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Beliau berkata, pemberian baucar berkenaan akan dilakukan bermula 8 hingga 31 Januari 2021 dan ia sah ditebus sehingga 30 Jun.

Katanya, selain petugas barisan hadapan, orang awam juga berpeluang menikmati 7,000 baucar yang ditawarkan menerusi kempen ini.

Dalam pada itu, ketika melancarkan kempen berkenaan, Amirudin memaklumkan keunikan dan kepelbagaian elemen di sembilan daerah di negeri ini pasti akan menarik pelancong.

"Kita memiliki aset pelancongan yang menarik iaitu pelancongan eco dan semulajadi; sukan ekstrem; aktiviti homestay dan pelancongan agro; warisan dan budaya, taman tema serta pengalaman membeli belah," katanya.

AMIRUDIN (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Juliana Evans (tiga dari kanan) yang dilantik sebagai duta Kempen "Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!" pada majlis pelancaran yang berlangsung di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini. FOTO BERNAMA
AMIRUDIN (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Juliana Evans (tiga dari kanan) yang dilantik sebagai duta Kempen "Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!" pada majlis pelancaran yang berlangsung di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini. FOTO BERNAMA

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan Pelancongan, Alam Sekitar Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian berkata, kempen berkenaan berlangsung selama enam bulan bermula Januari dan pihaknya mungkin akan melancarkan Pusing Selangor 2.0 selepas itu.

Katanya, pihaknya mensasarkan seramai mungkin pelancong dari dalam dan luar Selangor menyertai kempen ini seterusnya dapat mengembalikan industri pelancongan negeri ini seperti sebelum ini.

"Kita mensasarkan lima juta pengunjung untuk kempen enam bulan ini dan kita turut mensasarkan pelancong dari luar Selangor justeru itu, kita tidak mengehadkan baucar pelancongan kepada rakyat Selangor sahaja.

"Dengan pembukaan semula sempadan rentas negeri, saya yakin kita boleh mencapai sasaran itu," katanya.

Pada majlis berkenaan, Cik Puan Juliana Evans turut diperkenalkan sebagai duta kempen Pusing Selangor Dulu dan sebanyak 17 pakej pelancongan usahasama antara pihak Tourism Selangor dan Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) turut dilancarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 5:36 PM