Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Kerajaan negeri hari ini, menyalurkan insentif khas bersasar secara 'one-off' RM1,000 seorang kepada 553 penggiat industri pelancongan di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan Pelancongan, Alam Sekitar Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian berkata, insentif itu sebahagian daripada Pakej Pemulihan Ekonomi Selangor yang diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari pada 13 Julai lalu.

"Sejumlah RM553,000 diperuntukkan kepada 553 individu terbabit dalam usaha membantu penggiat industri pelancongan di negeri ini yang terkesan akibat Covid-19.

"Penerima terdiri daripada 486 pemandu pelancong berlesen dan berdaftar dengan 'Selangor Tourist Guide Association' (SGTA), 16 pengusaha rumah inap yang diperakui Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) dan 51 Hos Komuniti Setempat Negeri Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyerahan Bantuan Insentif Khas One-Off Pakej Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor Dalam Menangani Impak Covid-19 di bilik Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Bangunan SUK di sini.

Loy Sian berkata, menerusi Pakej Pemulihan Ekonomi Selangor, kerajaan negeri turut menggariskan Pakej Bantuan Sektor Pelancongan menerusi penerbitan subsidi Baucer Pelancongan Selangor dengan peruntukan RM2 juta.

HEE Loy Sian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Insentif Khas One-Off Pakej Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor Dalam Menangani Impak Covid-19 di SUK Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
HEE Loy Sian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Insentif Khas One-Off Pakej Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor Dalam Menangani Impak Covid-19 di SUK Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

"Pakej bantuan pemulihan ekonomi yang kedua dalam sektor pelancongan ini sedang dikemaskini dan berada pada peringkat akhir pelaksanaannya, ia dijangka akan dilancarkan pada pertengahan Disember ini mengikut situasi semasa Covid-19 di negeri ini.

"Kerajaan negeri berharap, insentif dan inisiatif ini dapat membantu penggiat industri pelancongan yang terkesan dan memulihkan industri pelancongan khususnya di Selangor," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pemberian Subsidi Baucer Pelancongan Selangor itu adalah langkah proaktif seiring pelaksanaan kempen promosi pelancongan 'Pusing Selangor Dulu' yang diperkenalkan oleh Tourism Selangor.

"Kempen ini memberi penekanan kepada inisiatif promosi serba mampan dengan usahasama penggiat industri pelancongan seperti hotel, agensi pelancongan, media dan syarikat penerbangan bagi mempromosi tarikan di Selangor," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 4:11 PM