KERAJAAN Selangor melalui agensi Tourism Selangor mempergiatkan aktiviti promosi pelancongan domestik.
KERAJAAN Selangor melalui agensi Tourism Selangor mempergiatkan aktiviti promosi pelancongan domestik.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KERAJAAN Selangor melalui agensi Tourism Selangor mempergiatkan aktiviti promosi pelancongan domestik sempena kempen Pusing Selangor Dulu! kepada pelancong tempatan di selatan tanah air.

Program jelajah untuk kali ke enam itu diadakan di pusat beli-belah Paradigm Mall, Johor Bahru dengan sambutan lebih 50,000 pengunjung daripada Johor dan Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, jelajah Pusing Selangor Dulu - Johor 2022 itu memfokuskan kepada pasaran pelancongan domestik di Johor yang mencatat kedatangan pelancong yang tertinggi ke Selangor pada tahun lalu ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.

Pada masa sama, pihaknya turut mengambil kesempatan untuk mempromosikan pelancongan negeri itu kepada pasaran Singapura.

"Program itu mendapat sambutan menggalakkan pada tahun-tahun sebelum ini kerana ia memberi peluang kepada produk pelancongan Selangor memperkenalkan dan mempromosikan produk pelancongan mereka dengan jualan terus kepada orang ramai.

"Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan semula hasil pendapatan ekonomi pelancongan dan memajukan sektor pelancongan negeri," katanya.

Pada siri jelajah itu, Tourism Selangor menjalinkan usaha sama dengan Malaysia Airlines dan Gamuda GM Klang sebagai rakan strategik.

PROGRAM yang diadakan mendapat sambutan meriah.
PROGRAM yang diadakan mendapat sambutan meriah.

Lima pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Majlis Perbandaran Klang turut mengambil bahagian di gerai pameran jelajah berkenaan.

Selain itu, lebih 15 operator dan produk pelancongan juga mengambil bahagian dalam gerai pameran dengan menawarkan jualan pakej pelancongan menarik serta diskaun promosi sehingga 50 peratus untuk pengunjung.

Pengunjung juga dihiburkan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya animasi BoboiBoy, persembahan kebudayaan daripada Pertubuhan Kembara Anak Seni Selangor (PKAS) dan Orang Asal Kaum Mahmeri, demonstrasi kraf tangan dan sesi 'Meet & Greet' bersama Duta Pelancongan Kempen Pusing Selangor Dulu, Che Puan Juliana Evans.

Tidak ketinggalan sesi 'Meet & Greet' bersama pelakon filem Mat Kilau, demonstrasi masakan tradisi Jawa seperti nasi ambeng oleh Banghuris Homestay, demonstrasi lompatan trampoline oleh bekas penerjun negara, Ahmad Amsyar Azman, persembahan kebudayaan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Johor serta cabutan bertuah juga disediakan kepada pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 6:14 AM