Keadaan mayat bayi lelaki yang ditemui di kebun sawit belakang sebuah rumah di Kampung Tali Air 11, Pasir Panjang, hari ini. FOTO IHSAN POLIS
Keadaan mayat bayi lelaki yang ditemui di kebun sawit belakang sebuah rumah di Kampung Tali Air 11, Pasir Panjang, hari ini. FOTO IHSAN POLIS
Oleh Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: Polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan suspek yang terbabit dalam kes penemuan mayat bayi lelaki di kebun kelapa sawit di belakang sebuah rumah di Kampung Tali Air 11, Pasir Panjang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pihaknya masih mengesan suspek.

"Suspek masih belum dikenal pasti. Mayat bayi itu juga belum dituntut," katanya hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang guru sekolah rendah agama menemui mayat bayi tanpa pakaian dan digumpal dengan kain telekung dalam beg plastik.

Pada kejadian jam 8.30 pagi itu, Rosnah Rusni, 47, ternampak beg plastik berkenaan di bawah pokok kelapa sawit yang terletak kira-kira 10 meter dari pintu dapur rumahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 2:57 PM