FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Melvin Joni


Serian: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati), Rabu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, anggota terbabit ditahan ketika cuba membawa masuk tiga Pati warga Indonesia melalui sempadan Sarawak-Kalimantan di Tebakang di sini, kira-kira jam 9.40 pagi.

"Ketika ditahan, suspek sedang membawa tiga warga Indonesia iaitu seorang wanita berusia 29 tahun, seorang budak perempuan berusia 13 tahun dan seorang lelaki berusia 23 tahun.

"Pemeriksaan mendapati ketiga-tiga warga Indonesia terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya yang dihubungi, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati anggota yang bertugas di pos kawalan Ops Benteng di Tebedu itu melakukan penghantaran Pati dari Indonesia dengan bayaran tertentu mengikut trip perjalanan.

Menurutnya, pihaknya percaya suspek tidak bertindak berseorangan namun sama ada terdapat pembabitan anggota lain dalam kegiatan itu masih disiasat.

"Dia mengaku diupah oleh kenalan tetapi kita belum lagi tahu siapa, ini masih dalam siasatan," katanya suspek kini ditahan reman lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk siasatan lanjut

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 2:57 PM