Serian: Seorang wanita sarat mengandung sembilan bulan dan lelaki patah kaki antara pesakit yang terpaksa dipindahkan dari Klinik Kesihatan Tebakang ke Hospital Serian, di sini, semalam.

Wanita berusia lingkungan 30-an berasal dari Kampung Tebakang itu dihantar ke Klinik Kesihatan selepas terasa sakit untuk melahirkan bayi, manakala lelaki berusia lingkungan 20-an itu terbabit dalam kemalangan menyebabkan kakinya patah.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufiyan Borhan berkata, beberapa jalan ke Kampung Tebakang dinaiki air menyebabkan ia tidak dapat dilalui kenderaan.

Menurut Farhan, anggota bomba terpaksa mengambil sendiri pesakit di klinik kesihatan berkenaan dan menghantar mereka ke jalan raya berhampiran sebelum keduanya dihantar ke Hospital Serian.

Beberapa kawasan di Kampung Tebakang mula dinaiki air dan klinik kesihatan yang terletak berhampiran dengan sungai juga dikhuatiri dinaiki air sekiranya keadaan hujan berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 8:02 AM