OPERASI mencari kanak-kanak lelaki Autism berumur lima tahun di Sungai Skudai. FOTO IHSAN BOMBA
OPERASI mencari kanak-kanak lelaki Autism berumur lima tahun di Sungai Skudai. FOTO IHSAN BOMBA
Omar Ahmad


Johor Bahru: Penemuan kesan gelincir di tebing Sungai Skudai selain telefon bimbit menjadi petunjuk selepas kehilangan kanak-kanak lelaki autistik di Kampung Sepakat Baru, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 4.30 petang daripada ibu mangsa berusia 26 tahun.

"Ibu mangsa menyedari anak lelaki tiada di kawasan sekitar rumahnya di Kampung Sepakat Baru pada 3.30 petang semalam lalu ahli keluarga pergi mencarinya.

"Mereka menemukan kesan gelincir di tebing Sungai Skudai yang terletak 30 meter di belakang rumah keluarga itu.

"Turut ditemui sebuah telefon bimbit dalam air di tepi tebing sungai dipercayai digunakan mangsa sebelum hilang," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, mayat kanak-kanak lelaki itu ditemui pada 11.10 malam tadi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Mayat mangsa ditemui di dasar sungai kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian. Mayat mangsa disahkan keluarga lalu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi bedah siasat," katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan turut disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 4:17 PM