LOKASI mangsa disamun. FOTO Ihsan polis
LOKASI mangsa disamun. FOTO Ihsan polis
Juwan Riduan


Papar: Penjual sayur parah di kedua-dua belah tangan dipercayai ditetak dengan pedang samurai dalam kejadian samun di kawasan perumahan Melinsung Summer Bay Apartment, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun dilaporkan patah tulang selain luka di kedua-dua belah tangannya.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, hasil siasatan, sebelum kejadian mangsa bersama tunangnya baru selesai menghantar sayur di Kota Kinabalu.

Katanya, kedua-dua mereka kemudiannya bergerak pulang ke Papar sebelum singgah di tempat kejadian untuk makan malam di sebuah restoran berhampiran.

"Mangsa bersama tunangnya parkir kenderaan mereka di tepi jalan sebelum berjalan ke kedai makan berkenaan.

"Bagaimanapun, sebuah kereta Perodua Myvi tiba-tiba berhenti berhampiran mangsa sebelum seorang lelaki yang memegang benda tajam disyaki sebilah pedang samurai terus menyerang tunang mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamaruddin berkata, suspek yang memakai topi keleder dikatakan merampas beg silang milik tunang mangsa sehingga berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek.

Katanya, mangsa ditetak sebanyak dua kali menyebabkan kedua-dua tangannya cedera.

"Mangsa dalam keadaan stabil dan turut kehilangan barang-barang iaitu beg yang mengandungi beberapa dokumen penting dan telefon bimbit.

"Suspek berjaya melarikan diri menggunakan Perodua Myvi yang dipercayai dipandu rakan sejenayah suspek.

"Mangsa dibawa ke Hospital Papar oleh tunangnya untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis," katanya.

Kamaruddin berkata, pihaknya mengesan suspek terbabit dan orang awam mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Wong Yew Zhung di talian 010-5635169 atau polis di talian 088-912222.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 4:18 PM