ANTARA Pati yang ditahan. FOTO Melvin Joni
ANTARA Pati yang ditahan. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Serian: Empat bayi berusia setahun antara 26 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia yang ditahan ketika cuba diseludup masuk oleh tiga tekong tempatan di sini, malam kelmarin.

Mereka ditahan secara berasingan oleh pasukan Task Force dan anggota peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, dua daripada tekong itu ditahan di tepi jalan berdekatan Kampung Tangga, Jalan Serian-Tebedu jam 11.15 malam kelmarin.

"Pasukan Task Force IPD Serian dan anggota peronda menahan sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki tempatan bersama tujuh penumpang warga asing berumur lingkungan setahun hingga 42 tahun.

"Di lokasi sama, polis turut menahan sebuah kenderaan yang dipandu lelaki tempatan bersama 10 penumpang warga asing yang berumur setahun hingga 41 tahun.

"Kedua-dua lelaki tempatan terbabit disyaki tekong darat yang membawa Pati masuk ke negeri ini tanpa menggunakan laluan sah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata seorang lagi tekong tempatan ditahan di tempat letak kereta bersebelahan stesen minyak jam 12.10 tengah malam semalam yang membawa sembilan Pati berumur setahun hingga 30 tahun.

"Hasil pemeriksaan mendapati semua penumpang tidak memiliki dokumen perjalanan sah," katanya.

Aswandy berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.

Aswandy berkata, pihaknya menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat jika terdapat sebarang aktiviti penyeludupan.

Beliau juga menasihati masyarakat agar tidak bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 12:40 PM