Ekhwan Haque Fazlul Haque

Serian: Penahanan empat lelaki berusia 18 tahun hingga 28 tahun di sekitar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tebedu di sini, jam 3.30 pagi semalam, membawa kepada penemuan raifal dan pistol tiruan dalam Proton Iswara dinaiki mereka.

Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, terdahulu, pihaknya melepaskan sedas tembakan ke udara selepas suspek enggan memberhentikan Proton Iswara terbabit, malah cuba merempuh kereta peronda polis.

“Kami mendapat maklumat risikan mengenai kehadiran Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan sebelum mengesan suspek.

“Ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, suspek memecut dan cuba merempuh kereta peronda. Anggota kami terpaksa melepaskan tembakan di udara sebelum suspek menyerah diri,” katanya.

Menurut beliau, selain raifal serta pistol tiruan, pihaknya turut menemui kelopak serta beg peluru, baju kalis peluru, topeng muka selain bungkusan berisi dadah jenis syabu dalam kereta terbabit.

Aswandy berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada senjata tiruan itu turut digunakan untuk kegiatan jenayah.

“Ujian air kencing mendapati keempat-empat suspek positif dadah dan mereka ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 10:08 AM
ASWANDY (dua dari kiri) menunjukkan senjata tiruan dan barangan dirampas.
ASWANDY (dua dari kiri) menunjukkan senjata tiruan dan barangan dirampas.