MOHAMAD Fareez Md Hanapi dibawa ke Mahkamah Majistret Gua Musang. FOTO RAMLI IBRAHIM
MOHAMAD Fareez Md Hanapi dibawa ke Mahkamah Majistret Gua Musang. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Sengaja membuat aduan palsu ada mangsa terperangkap banjir melalui panggilan nombor kecemasan 999 bulan lalu, seorang buruh akhirnya menerima padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad Fareez Md Hanapi, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Badrul Munir Mohd. Hamdy.

Tertuduh didakwa secara sedar menggunakan kemudahan rangkaian talian Celcom miliknya dengan cara membuat panggilan palsu kepada nombor kecemasan 999.

Panggilan itu dengan menyatakan aduan terdapat mangsa terperangkap dalam kejadian banjir di kawasan Aring 1.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 1, Felda Aring 2, di sini, kira-kira 6.33 petang pada 24 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Habibullah Md Shah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500, bagimanapun tertuduh gagal membayar jaminan itu.

Hakim menetapkan 13 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 1:35 PM