Hidayatidayu Razali


Pasir Mas: Buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul adik iparnya berusia tujuh tahun dalam sebuah kereta pada pertengahan bulan lalu.

Tertuduh berusia 39 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Lelaki terbabit dituduh dengan maksud seksual mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dalam kereta Proton Wira.

Kesalahan didakwa dilakukan di tepi jalan di Tanah Merah kira-kira 10 hingga 12 tengah malam, pada 8 Ogos hingga 12 Ogos lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat.

Prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hajarul Falenna tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh mempunyai akses untuk berhubung atau berjumpa kerana mangsa adalah adik iparnya.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkannya diikat jamin kerana mempunyai lima anak dan isteri yang sedang sarat mengandung serta menanggung ibu yang juga orang kurang upaya (OKU).

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 November depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 2:19 PM