Hidayatidayu Razali

Pasir Mas: Tiga lelaki termasuk seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menyeludup lima migran warga Thailand, 6 Oktober lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tiga tertuduh iaitu anggota PGA, Muhd Nor Hafifi Md Khanapiah, 33, dan dua rakannya, Mohd Azhar Mohamad, 28, serta Muhammad Rahmat Muhammad, 33, selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyeludup lima migran, Yuyanee Yusof, Nuriyah Mama, Romlah Saa, Haleemoh ChaiResai dan Rorpee-ah Dorloh bertempat di sekatan jalan raya Lalang Pepuyu, dekat Tanah Merah, jam 10 malam pada 6 Oktober lalu.

Perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta AntiPermerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang juga di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012).

MUHD Nor Hafifi (depan), Mohd Azhar (tengah) dan Muhammad Rahmat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyeludup lima migran warga Thailand, 6 Oktober lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHD Nor Hafifi (depan), Mohd Azhar (tengah) dan Muhammad Rahmat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyeludup lima migran warga Thailand, 6 Oktober lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala anggota PGA dan tertuduh kedua tidak diwakili peguam.

Tertuduh ketiga, Muhammad Rahmat diwakili peguam, Shaharuddin Mohamed.

Terdahulu, Abu Arsalnaa dalam pendakwaan memohon ketiga-tiga tertuduh supaya tidak diberikan jaminan.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan kepada mereka dan menetapkan 9 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk mengambil keterangan kelima-lima migran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 12:29 PM