TERTUDUH didakwa membunuh seorang penjaga barang binaan. FOTO Ramli Ibrahim
TERTUDUH didakwa membunuh seorang penjaga barang binaan. FOTO Ramli Ibrahim
Muhamaad Razis Ismail & Ramli Ibrahim


Gua Musang: Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini tadi terhadap tuduhan membunuh seorang penjaga barang binaan minggu lalu.

Tertuduh Hafizu Md Hanapi, 34, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Faiz Omar.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan terhadap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa membunuh Rojali Muslim, 30, di tepi jalan raya Aring 8-Kuala Berang, pada jam 4 pagi, 11 November 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Petriamirah Majidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 11 Januari 2017 untuk sebutan semula kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan salah faham kerana disangka melarikan gadis berusia 17 tahun dipercayai punca penjaga barang binaan di Felda Aring 8, Gua dipukul hingga mati.

Bagaimanapun, siasatan mendapati gadis yang didakwa hilang itu bukan melarikan diri sebaliknya tidur di rumah rakan tanpa memberitahu keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 12:57 PM