Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Mas: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah restoran makanan segera pada 2017.

Tertuduh, Saw Kim San, 37, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan bunuh sehingga menyebabkan kematian Lee Boon Guan, 39.

Perbuatan itu dilakukan di KFC Rantau Panjang, di sini jam 5.58 petang pada 17 Ogos 2017.

Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Syafiq Aizat Nazri dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 15 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.

Difahamkan, tertuduh baharu didakwa selepas ditangkap polis Thailand dipercayai menyembunyikan diri di negara itu selepas kejadian.

SAW didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Rantau Panjang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SAW didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Rantau Panjang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Tertuduh kemudian diserahkan kepada Polis Kelantan pada 18 April lalu.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut ditikam di sebuah premis makanan segera di Gual Tinggi, di sini.

Mangsa menikmati makanan segera bersama seorang wanita berusia 30-an di tingkat satu premis berkenaan sebelum didatangi suspek dan terus menikam mangsa.

Mangsa yang cedera akibat tikaman di belakang dan dada mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 12:42 PM