GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Isu vaksin Covid-19 yang menjadi perhatian seluruh dunia ketika ini dijangka antara topik dibincangkan pada Simposium Cabaran Pengawalan Keselamatan Projek R&D Bioteknologi Transnasional 2020, esok.

Simposium secara maya anjuran Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dijadual berlangsung pada 2 petang.

Pengarah IPB UMS, Dr Zafina Amin berkata, simposium itu membariskan pakar terkenal dari Malaysia dan Indonesia yang akan berkongsi pengetahuan dalam pelbagai aspek berkaitan bioteknologi.

"Ia termasuk berkaitan peraturan, biokeselamatan dan cabaran menjalankan penyelidikan dalam makmal bioteknologi, khususnya bagi pengendalian mikro organisma patogenik.

"Simposium secara dalam talian ini diadakan secara percuma menggunakan platform ZOOM bermula 2 hingga 4.30 petang dan penganjur mengalu-alukan penyertaan penyelidik, pensyarah, pelajar pascasiswazah dan orang ramai.

"Penyertaan boleh dibuat dengan mengimbas kod bar 2D yang terdapat pada poster jemputan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dr Zarina berkata, penganjuran simposium itu seiring dengan masalah kesihatan global sedang dihadapi pada masa ini iaitu Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus 2 (SARS-CoV-2) yang dikenal pasti dari keluarga Coronaviridae.

Beliau berkata, wabak SARS-CoV-2 atau lebih dikenali dengan Covid-19 itu tersebar sejak 2019 dan kini berleluasa hampir ke seluruh pelusuk dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 2:58 PM