MAYAT mangsa kedua kejadian bot karam di jeram Wong Pelagus, Sungai Batang Rajang, Kapit, ditemui petang tadi. FOTO Ihsan JBPM
MAYAT mangsa kedua kejadian bot karam di jeram Wong Pelagus, Sungai Batang Rajang, Kapit, ditemui petang tadi. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Mangsa kedua yang dilaporkan hilang dalam kejadian perahu karam di jeram Wong Pelagus, Sungai Batang Rajang, di Kapit, Jumaat lalu ditemui lemas hari ini.

Mayat mangsa, Richelles Seli Lasu, 21, ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira satu kilometer dari lokasi perahunya karam.

Kira-kira jam 5 pagi tadi, mayat mangsa pertama Ngalang Demong, 73, ditemui oleh pekerja tongkang muatan batu yang menyusuri sungai berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa sudah dikenal pasti dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Susulan penemuan mayat mangsa kedua itu, operasi ditamatkan pada jam 5.50 petang tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, Jumaat lalu, kedua-dua mangsa hilang selepas perahu yang mereka naiki karam ketika cuba melalui air deras di jeram berkenaan.

Saksi kejadian yang juga cucu mendiang Ngalang dalam laporan di Balai Polis Kapit berkata, kejadian itu berlaku ketika dia bersama datuk dan bapa saudaranya, Richelles Seli dalam perjalanan dari Rumah Panjang Ani Isop, Nanga Pelagus untuk menjala ikan.

Sebelum melalui kawasan jeram itu saksi terbabit diarahkan oleh dua mangsa supaya turun dari perahu dan dia kemudiannya berjalan mengikut laluan pejalan kaki di tebing sungai manakala datuk dan bapa saudaranya mengharungi jeram dengan bergerak menggunakan perahu.

Ketika cuba melalui jeram itu, saksi melihat perahu yang dinaiki datuk dan bapa saudaranya karam dan kedua-dua mangsa hilang dibawa arus deras.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 7:56 PM