Dublin Clint, 18, dkhuatiri lemas di Sungai Rajang. FOTO IHSAN BOMBA
Dublin Clint, 18, dkhuatiri lemas di Sungai Rajang. FOTO IHSAN BOMBA
Mohd Roji Kawi


Kanowit: Remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) dikhuatiri hilang di Sungai Rajang di sini, selepas penduduk menemui perahu yang dinaikinya hanyut di sungai berkenaan, pagi tadi.

Dublin Clint, 18, dikatakan menaiki perahu berkenaan pada jam 7.30 pagi untuk menghantar tong minyak ke seberang sungai.

Bagaimanapun, mangsa tidak balik ke rumah selepas itu sehinggalah perahunya ditemukan hanyut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, laporan di Balai Polis Kanowit dibuat keluarga mangsa pada jam 10.27 pagi selepas usaha mereka mengesannya gagal.

Beliau berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit dikerah ke lokasi sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu.

"Operasi mencari dan menyelamat menggunakan kaedah pencarian di permukaan dengan menggunakan bot penyelamat menyusuri Sungai Rajang dari lokasi perahu mangsa dijumpai dalam radius dua kilometer ke hilir Sungai Rajang," katanya.

Bagaimanapun, tiada sebarang petanda ditemui dan operasi ditangguhkan pada jam 5 petang.

#kw hilang, remaja, OKU, Sungai Rajang, Kanowit

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 6:51 PM