Raja Noraina Raja Rahim


Gombak: Kumpulan kongsi gelap 'Geng 36 Selayang' akhirnya tumpas susulan tertangkapnya ketua geng berkenaan yang dikenali sebagai Malik.

Geng yang dipercayai aktif sejak 2017 itu bukan saja 'menjaga' kawasan malah disyaki terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah di sekitar daerah itu termasuk kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Gombak, Assisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kegiatan Malik berusia 30-an itu dibongkar hasil penahanan 16 ahli kumpulannya termasuk dua adik-beradik Malik menerusi beberapa siri serbuan sebelum ini.

Menurutnya, sepasukan polis yang menjalankan siasatan berjaya menahan lelaki terbabit di sebuah rumah di Damansara, Petaling Jaya, pada 31 Oktober lalu.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

"Dalam serbuan itu, polis turut menemui sepucuk pistol revolver .38 yang disyaki digunakan dalam beberapa kes jenayah yang didalanginya selama ini termasuk satu kes bunuh di Batu Caves pada Julai tahun lalu.

"Berdasarkan semakan, Malik mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk tujuh rekod dikehendaki polis. Suspek kini ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 326 KK, Seksyen 506 KK dan Seksyen 435 KK.

Dalam perkembangan sama, katanya, seramai 16 ahli geng yang ditahan sebelum ini turut ditahan di bawah POCA dan tujuh daripadanya sudah dituduh di mahkamah.

Katanya, polis kini giat memburu lima lagi ahli geng itu yang masih bebas dikenali TS Mugeelan, 29; V Ganegeshwaran, 27; M Jayenthiran, 25; G Navinthiran Ganasan, 25; dan R Prem Ganesh, 27, yang semuanya berasal dari daerah ini.

5 saki baki Geng 36 Selayang diburu. FOTO ihsan polis
5 saki baki Geng 36 Selayang diburu. FOTO ihsan polis

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat IPD Gombak, Asisten Superintendan Mohammad Fairus Baharom di talian 013-2885449 atau 03-61262222.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 1:44 PM