SEORANG ibu, Baan Mustafa, (dua, kanan) bersama anak-anaknya kelihatan meredah air untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Nerus selepas pulang ke rumah bagi melihat keadaan rumah mereka ketika tinjauan banjir di Taman Desa Tanjung Damai hari ini. FOTO BERNAMA
SEORANG ibu, Baan Mustafa, (dua, kanan) bersama anak-anaknya kelihatan meredah air untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Nerus selepas pulang ke rumah bagi melihat keadaan rumah mereka ketika tinjauan banjir di Taman Desa Tanjung Damai hari ini. FOTO BERNAMA
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Hanya empat daerah masih terjejas banjir di negeri ini membabitkan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Marang.

Sehingga 4 petang, seramai 427 mangsa daripada 107 keluarga masih ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu.

Ia menunjukkan penurunan berbanding jam 8 pagi tadi apabila seramai 530 mangsa banjir daripada 131 keluarga ditempatkan di 20 PPS di enam daerah.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, penurunan itu berikutan satu PPS di Kemaman ditutup jam 10 pagi ini selepas 18 mangsa daripada empat keluarga yang berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik dibenarkan pulang.

Katanya, dua PPS di Setiu yang menempatkan sembilan mangsa daripada dua keluarga juga ditutup.

"Kuala Nerus kekal menjadi daerah yang paling terjejas akibat banjir apabila menempatkan seramai 227 mangsa daripada 56 keluarga di enam PPS.

"Dungun yang menjadi daerah kedua tertinggi pula membuka empat PPS untuk 87 mangsa daripada 21 keluarga.

"Ia menunjukkan sedikit pengurangan berbanding jam 8 pagi tadi apabila seramai 132 mangsa daripada 33 keluarga ditempatkan di enam PPS," katanya.

Che Adam berkata, seramai 20 keluarga membabitkan 80 mangsa ditempatkan di tiga PPS di Marang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang dan SMK Seri Payong.

Katanya, jumlah mangsa di Kuala Terengganu juga berkurangan kepada 33 mangsa daripada 10 keluarga berbanding 38 mangsa membabitkan 11 keluarga.

"Secara keseluruhan, jumlah mangsa empat daerah yang masih terjejas akibat banjir menunjukkan penurunan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 6:11 PM