HUJAN lebat sejak dua hari lalu menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dilanda banjir. FOTO Ghazali Kori
HUJAN lebat sejak dua hari lalu menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dilanda banjir. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Terengganu menunjukkan sedikit penurunan apabila seramai 4,632 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat 12 tengah hari tadi, kesemua mangsa daripada 1,216 keluarga berada di 32 PPS di lima daerah iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Besut dan Dungun.

Pagi tadi, seramai 4,787 mangsa daripada 1,260 keluarga berada di 32 PPS di enam daerah.

Penurunan itu susulan penutupan PPS di Balai Raya Kampung Bintang di Setiu selepas lapan mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Kuala Nerus terus merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,719 orang.

Kesemua mangsa daripada 453 keluarga itu kini berada di 15 PPS di daerah berkenaan.

Lima PPS di Kuala Terengganu masih dibuka bagi menempatkan 1,152 mangsa daripada 335 keluarga.

Sementara itu, di Marang, jumlah mangsa yang terjejas menunjukkan sedikit penurunan apabila seramai 1,059 masih berada di tujuh PPS berbanding 1,251 orang, pagi tadi.

Seramai 679 mangsa di Besut daripada 160 keluarga ditempatkan di empat PPS.

Di Besut, mangsa yang terjejas dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut, SK Nail, Balai Raya Beris Tok Abu dan SK Kampung Baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 1:03 PM