BANJIR di Taman Desa Tanjung Damai Gong Badak, Kuala Nerus (gambar fail). FOTO Malik Muhamad
BANJIR di Taman Desa Tanjung Damai Gong Badak, Kuala Nerus (gambar fail). FOTO Malik Muhamad
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seramai 530 mangsa banjir daripada 131 keluarga masih ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu.

Ia menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 7 malam tadi yang merekodkan 520 mangsa daripada 130 keluarga di 20 PPS.

Sehingga 8 pagi, sebanyak enam daerah masih terjejas akibat banjir iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, Setiu, Marang dan Kemaman.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Kuala Nerus kekal menjadi daerah yang paling terjejas apabila menempatkan seramai 233 mangsa daripada 56 keluarga di tujuh PPS.

Katanya, ia menunjukkan sedikit peningkatan berbanding semalam yang hanya merekodkan 180 mangsa daripada 41 keluarga yang ditempatkan di empat PPS.

"Dungun menjadi daerah kedua tertinggi yang merekodkan mangsa teramai apabila seramai 132 mangsa daripada 33 keluarga ditempatkan di enam PPS.

"Ia diikuti daerah Marang apabila 25 keluarga membabitkan 100 mangsa ditempatkan di tiga PPS," katanya.

Che Adam berkata, hanya sebuah PPS dibuka di Kuala Terengganu bagi menempatkan 38 mangsa daripada 11 keluarga.

Katanya, jumlah mangsa banjir di Kemaman kekal dengan 18 mangsa daripada empat keluarga yang berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik.

"Hanya sembilan mangsa daripada dua keluarga masih ditempatkan di dua PPS di Setiu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 9:42 AM