PENDUDUK meredah banjir ketika tinjauan di Kampung Gong Tok Nasek. FOTO BERNAMA
PENDUDUK meredah banjir ketika tinjauan di Kampung Gong Tok Nasek. FOTO BERNAMA
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Gelombang pertama banjir yang memasuki hari keempat menyaksikan jumlah mangsa yang terjejas terus menunjukkan penurunan.

Setakat 8 pagi, seramai 3,581 mangsa daripada 957 keluarga masih berada di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah.

Ketika ini, daerah masih terjejas adalah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Besut dan Dungun.

Ia menunjukkan sedikit penurunan berbanding seramai 3,619 orang daripada 957 keluarga, malam tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, daerah Kuala Nerus masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,598 orang daripada 430 keluarga di 15 PPS.

Ia diikuti daerah Kuala Terengganu apabila lima PPS masih aktif bagi menempatkan 956 mangsa daripada 279 keluarga.

Semua yang terjejas ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang, SK Gong Tok Nasek dan SK Rengah Bekah.

Seramai 272 mangsa daripada 60 keluarga masih berlindung di dua PPS di Besut iaitu SK Kuala Besut dan Balai Raya Beris Tok Abu.

Bagaimanapun, jumlah mangsa di daerah Marang dan Dungun tidak menunjukkan sebarang perubahan berbanding malam tadi.

Di Marang, enam PPS di Marang dibuka bagi menempatkan 732 mangsa daripada 183 keluarga.

Sementara itu, PPS di SK Tok Kah dibuka bagi menempatkan 23 mangsa daripada lima keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 9:02 AM