GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Mangsa banjir di Terengganu semakin berkurangan apabila hanya seramai 520 mangsa direkodkan berbanding 690 pagi tadi.

Sehingga jam 7 malam, sebanyak enam daerah masih terjejas dengan 20 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka bagi menempatkan 130 keluarga berbanding 184 keluarga ditempatkan di 24 PPS.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, sebuah PPS di daerah Besut yang menempatkan 10 mangsa semalam ditutup petang tadi.

Katanya, jumlah mangsa di Setiu menunjukkan penurunan mendadak apabila hanya 15 mangsa masih ditempatkan di tiga PPS berbanding 125 mangsa.

"Bagaimanapun, di Kuala Nerus kekal dengan 180 mangsa daripada 41 keluarga yang ditempatkan di empat PPS.

"Jumlah mangsa di Dungun pula meningkat apabila seramai 144 mangsa ditempatkan di tujuh PPS berbanding 131 mangsa pagi tadi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Che Adam berkata, sebanyak tiga PPS diaktifkan di Marang bagi menempatkan 102 mangsa daripada 25 keluarga.

Katanya, seramai 61 mangsa masih ditempatkan di dua PPS di Kuala Terengganu sementara di Kemaman, seramai 18 mangsa daripada empat keluarga berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik.

Dalam pada itu, paras air sungai semakin baik apabila hanya tiga sungai yang melepasi paras bacaan normal.

Kebanyakan sungai mula menunjukkan trend penurunan sejak pagi semalam. Berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, sehingga jam 7 malam, Sungai Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu yang mencatatkan bacaan 12.94 meter (m) berada pada paras amaran.

Ia menunjukkan penurunan berbanding 13.06 m yang direkodkan pagi tadi.

Satu lagi sungai yang berada pada paras amaran adalah Sungai Nerus di Langkap, Setiu dengan 20.01 m.

Selain itu, Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang direkodkan berada pada paras waspada dengan bacaan 2.04 m.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 7:12 PM