PENDUDUK meredah banjir di Kampung Atas Tol. FOTO Ghazali Kori
PENDUDUK meredah banjir di Kampung Atas Tol. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Lima daerah di Terengganu masih terjejas akibat banjir yang bermula kelmarin dengan 32 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka.

Setakat 2 petang tadi, seramai 4,487 mangsa daripada 1,181 keluarga di daerah Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Besut, Dungun dan Marang terjejas akibat bencana berkenaan.

Bagaimanapun, jumlah mereka yang terkesan menunjukkan sedikit penurunan berbanding seramai 4,632 mangsa daripada 1,216 keluarga, tengah hari tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Kuala Nerus merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,705 mangsa membabitkan 450 keluarga yang ditempatkan di 15 PPS.

Di daerah Kuala Terengganu, seramai 336 keluarga membabitkan 1,153 mangsa berada di lima PPS.

Lima PPS yang dibuka untuk menempatkan penduduk yang terjejas adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang, SK Gong Tok Nasek dan SK Rengah Bekah.

Jumlah mangsa di Marang juga menunjukkan sedikit penurunan apabila seramai 927 mangsa daripada 230 keluarga berada di tujuh PPS.

Sebelum ini, seramai 1,059 daripada 263 keluarga berlindung di PPS.

Sementara itu, di Besut pula, jumlah mangsa yang terjejas kekal seramai 679 orang daripada 160 keluarga yang dipindahkan ke empat PPS.

Di Besut, mangsa yang terjejas berada di SK Kuala Besut, SK Nail, Balai Raya Beris Tok Abu dan SK Kampung Baharu.

PPS di SK Tok Kah di Dungun pula diaktifkan pada 7.30 malam semalam bagi menempatkan 23 mangsa daripada lima keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 3:03 PM